Berilmu, Beriman, Beramal
SMA Nilai Terus Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang
1973
Tahun Penubuhan
52
Tahun
262
Pelajar
53
Tenaga Pengajar

6 PELAJAR SMA NILAI BERJAYA KE SARINGAN AKHIR HAFAZAN AL-QURAN

Tarikh: 24.10.25


PAROI, 24 Oktober – Sekolah Menengah Agama (SMA) Nilai melakar kejayaan membanggakan apabila seramai enam (6) orang pelajarnya berjaya menempatkan diri dalam Saringan Akhir Hafazan al-Quran Akademi Taranum Negeri Sembilan (AKTAR) Sesi 2025/2026.

Saringan akhir yang berlangsung selama dua hari (22 hingga 23 Oktober 2025) di dewan Pusat Dakwah Islamiah, Paroi ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan 60 peserta terbaik dari seluruh Negeri Sembilan yang telah melepasi saringan awal. Para pelajar SMA Nilai berjuang dalam kategori yang berbeza, iaitu Juzuk 1-10, Juzuk 1-20, dan Juzuk 1-30.

Dalam suasana penilaian yang teliti, kesemua enam pelajar yang hadir memperdengarkan bacaan serta hafalan al-Quran di hadapan barisan panel juri AKTAR yang bertugas menilai kelayakan mereka ke peringkat seterusnya.

Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan SMA Nilai dalam melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam penghayatan dan penguasaan ilmu al-Quran.

Peserta yang terpilih dari saringan akhir ini akan melayakkan diri untuk mewakili Negeri Sembilan ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri yang dijadualkan pada tahun hadapan. Pencapaian ini diharapkan dapat menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha keras dalam memartabatkan hafazan al-Quran.