Latar Belakang dan Sejarah Sekolah

7.5.20

Pengenalan


Sekolah Menengah Agama Nilai (SMA Nilai; Jawi: سكوله منڠه اڬم نيلاي) merupakan institusi pendidikan berstatus Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah kategori Kelas Seliaan Negeri (KSN). Ia menawarkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) yang menggabungkan dua komponen mata pelajaran tahfiz Al-Quran dengan sebahagian mata pelajaran sedia ada dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) untuk pelajar tingkatan 1 hingga 5.

Sejarah


SMA Nilai mula dibina pada 5 Mei 1973 dan pada awalnya dikenali dengan nama Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA) Nilai. Sekolah ini dirasmikan oleh Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj Mohd Isa Bin Hj Abdul Samad dan didirikan di atas sebidang tanah seluas 4,867 ekar.

Sebelum mempunyai bangunan sendiri, SMRA Nilai telah menumpang di Balai Raya Nilai dengan jumlah murid seramai 40 orang sahaja. Pada waktu itu, pengetua pertama SMRA Nilai, Ustaz Mohamad Yapis hanya dibantu oleh 5 orang guru.


Kini, SMA Nilai telah dinaik taraf menjadi SABK yang diselia oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS) dan Kerajaan Negeri Sembilan. Tahun 2010 merupakan tarikh bersejarah di mana nama SMRA Nilai telah ditukar secara rasmi kepada Sekolah Menengah Agama Nilai.

Kepimpinan


Sejak penubuhannya sehingga kini, SMA Nilai telah diterajui oleh 13 orang pengetua iaitu:

  1. Ustaz Mohamad Yapis
  2. Ustaz Adnan Wok
  3. Ustaz Haji Mohd Ratha Haji Othman
  4. Ustaz Osman Sirin
  5. Ustaz Abdul Kudus Tahar
  6. Ustaz Haji Mohamad Surol Miri
  7. Ustazah Zawiah binti Ibrahim
  8. Ustazah Maliah binti Udin
  9. Ustaz Abdul Halim bin Othman
  10. Ustaz Jamil bin Othman
  11. Pn Hjh Suriyah binti Hj Ghazali
  12. Pn Rafidah binti Ab Rahman
  13. Tn Hj Mohammad Noh bin Sujud (terkini)

Apa itu Kelas Seliaan Negeri (KSN)?

Kelas Seliaan Negeri (KSN) ialah sebuah program khas yang disediakan untuk pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, pentaksiran aktiviti jasmani dan kokurikulum (PAJSK), serta memiliki rekod disiplin yang baik.

Program ini ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyediakan pendidikan berkualiti tinggi kepada pelajar yang berpotensi besar.

Permohonan bagi program ini hanya boleh dibuat oleh guru sekolah rendah bagi memastikan proses tapisan berjalan lancar. Langkah ini diambil bagi menjamin hanya pelajar yang memenuhi syarat kelayakan dapat menyertai program tersebut.

KSN merangkumi beberapa jenis kelas yang dirancang, termasuk:

  • Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)
  • Kelas Rancangan Khas (KRK)
  • Kelas Aliran Agama (KAA)

Apa itu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)?

Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) merupakan salah satu cabang dalam Institusi Pendidikan Agama (IPA), bersama-sama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Berasrama Penuh Agama, serta Kelas Aliran Agama (KAA) di Sekolah Menengah Kebangsaan.

Program Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) yang dijadikan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) merupakan inisiatif kerajaan untuk memperkukuh dan memperkasakan sekolah-sekolah agama di Malaysia. Cadangan program ini pertama kali dikemukakan oleh Menteri Pelajaran pada tahun 2002 dan dikaji semula oleh Jawatankuasa Khas Tan Sri Murad pada Ogos 2004.


Konsep

  • Berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
  • Ditadbir oleh KPM
  • Pemilikan tanah dan bangunan dikekalkan
  • Kurikulum agama negeri dikekalkan
  • Menerima pelbagai kemudahan

Tujuan

  • Mempertingkatkan kualiti pengurusan pentadbiran
  • Mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran
  • Mempertingkatkan kualiti pengurusan sumber manusia
  • Mempertingkatkan kualiti prasarana dan kemudahan

Kelebihan

✅ Kelebihan kepada sekolah

  • Menerima bantuan sumbangan bagi urusan pentadbiran sekolah.
  • Menerima bantuan modal bagi menampung keperluan pembangunan fizikal sekolah.
  • Menerima bantuan insentif (SAR sahaja) setelah Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani.
  • Jawatan Hakiki diwujudkan.
  • Menerima guru terlatih sekiranya guru sedia ada tidak mencukupi.
  • Kurikulum agama dan pelaksanaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dikekalkan.

✅ Kelebihan kepada guru dan kakitangan

  • Berpeluang diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan.
  • Berpeluang menikmati gaji dan elaun yang setaraf dengan kelayakan.
  • Berpeluang mendapat kenaikan pangkat.
  • Berpeluang mendapat kemudahan kerajaan.
  • Berpeluang mengikuti kursus ikhtisas.
  • Berpeluang melanjutkan pelajaran.
  • Berpeluang untuk ikut serta dalam aktiviti KPM.

✅ Kelebihan kepada pelajar

  • Berpeluang mendapat bantuan.
  • Berpeluang bersaing dengan pelajar-pelajar di sekolah aliran perdana.
  • Berpeluang untuk ikut serta dalam aktiviti anjuran KPM.
  • Berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah KPM yang terbaik.
  • Berpeluang mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti.

Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT)

Kurikulum tahfiz al-Quran dari pelbagai institusi pendidikan agama diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jawatankuasa Kurikulum Agama Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) menggabungkan dua komponen utama iaitu mata pelajaran tahfiz al-Quran dan sebahagian mata pelajaran dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Pengintegrasian ini diharapkan dapat melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja menghafaz al-Quran, tetapi juga menguasai dan mengamalkan ilmu-ilmu al-Quran serta disiplin ilmu lain. Selain itu, KBT memastikan pelajar dapat menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima tahun sepanjang pengajian mereka di peringkat sekolah menengah.


Objektif

Objektif KBT adalah seperti berikut:

  • Melahirkan modal insan yang menghafaz dan memahami 30 juzuk al-Quran.
  • Melahirkan modal insan yang boleh menjalinkan hubungan dengan Allah, sesama manusia dan dengan kejadian alam berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
  • Melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang keagamaan dan profesional berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.
  • Melahirkan modal insan yang berupaya memberi pandangan dalam menyelesaikan masalah, memaksimumkan keupayaan berfikir serta berfikiran kreatif dan inovatif.

Bahasa Pengantar Bagi Mata Pelajaran

Bahasa pengantar bagi mata pelajaran kurikulum tahfiz ialah bahasa Arab manakala mata pelajaran KBSM adalah dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.


Pentaksiran dan Pelaporan

Pentaksiran KBT adalah dengan menggunakan kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di peringkat menengah rendah seperti mana mata pelajaran lain yang dilaksanakan di sekolah-sekolah KPM.

Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid (PPPM) dan instrumen pentaksiran akan digunakan bagi dua mata pelajaran berikut:

  • Hifz al-Quran
  • Maharat al-Quran

Pelaporan akhir KBT di peringkat menengah rendah adalah seperti berikut:

  • Pelaporan Pentaksiran Pusat
  • Pelaporan Pentaksiran Sekolah
  • Pelaporan Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJSK)
  • Pelaporan Psikometrik

📈 Sijil pencapaian hafazan akan dikeluarkan kepada murid menengah rendah.


Pada peringkat menengah atas:

Pentaksiran berdasarkan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan murid akan menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mata pelajaran Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran akan disenaraikan sebagai mata pelajaran dalam SPM.

📈 Sijil pencapaian hafazan akan dikeluarkan kepada murid menengah atas.


KBT SMA Nilai

Sekolah Menengah Agama Nilai menawarkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) yang menggabungkan dua komponen mata pelajaran tahfiz Al-Quran dengan sebahagian mata pelajaran sedia ada dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) untuk pelajar tingkatan 1 hingga 5. Berikut adalah perincian subjek yang ditawarkan:

Subjek Tingkatan 1 - 3 Subjek Tingkatan 4 & 5
1. Hifz Al-Quran 1. Hifz Al-Quran
2. Maharat Al-Quran 2. Maharat Al-Quran
3. Pendidikan Islam 3. Bahasa Melayu
4. Bahasa Arab 4. Bahasa Inggeris
5. Bahasa Melayu 5. Sejarah
6. Bahasa Inggeris 6. Matematik
7. Matematik 7. Sains
8. Sains 8. Bahasa Arab
9. Geografi 9. Pendidikan Quran Sunnah
10. Sejarah 10. Pendidikan Syariah Islamiah
11. Reka Bentuk Teknologi (RBT) 11. Prinsip Akaun*
12. Pendidikan Jasmani & Kesihatan (PJK) 12. Perniagaan*
13. Pendidikan Seni Visual (PSV) 13. Matematik Tambahan**

* Pilih salah satu (Prinsip Akaun atau Perniagaan)

** Subjek pilihan


Penutup

Hasrat KPM untuk melahirkan golongan profesional hafiz yang berdaya kepemimpinan mantap dan seimbang dapat memberi sumbangan besar kepada transformasi pendidikan negara. Kejayaan pelaksanaan KBT amat bergantung kepada komitmen yang tinggi dan usaha gigih semua pihak demi kebaikan dan kemanfaatan agama, bangsa dan negara.