Berilmu, Beriman, Beramal
SMA Nilai Terus Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang
1973
Tahun Penubuhan
52
Tahun
262
Pelajar
53
Tenaga Pengajar

SMA NILAI DAN USIM METERAI KERJASAMA MENERUSI PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI 2025

Tarikh: 11.9.25

SMA NILAI DAN USIM METERAI KERJASAMA MENERUSI PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI 2025

NILAI, 10 September 2025 – Sekolah Menengah Agama Nilai (SMA Nilai) hari ini secara rasminya memeterai jalinan kerjasama strategik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Majlis Penyampaian Watikah Sekolah Angkat MADANI 2025. Majlis yang penuh bermakna ini telah dilangsungkan dengan jayanya di Dewan Al-Ghazali SMA Nilai.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato' Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani, yang menandatangani plak perasmian sebagai simbolik kepada termeterainya kerjasama erat antara kedua-dua institusi. Pihak SMA Nilai selaku tuan rumah, yang diwakili oleh Pengetua, Tn. Hj. Mohammad Noh bin Sujud, menyambut baik kerjasama ini yang bertujuan untuk membina satu landasan perkongsian ilmu dan kepakaran antara USIM dan SMA Nilai.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah, Tn. Haji Mohamad Adnan bin Ismail, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMA Nilai, Tn. Hj. Mustafa Kamal bin Mohd Zaini serta wakil-wakil daripada rakan industri seperti Telekom Malaysia sebagai penyedia infrastruktur digital, dan syarikat Bina Paint yang merupakan pembekal cat untuk program University Service Responsibility (USR) di SMA Nilai.

Suasana majlis bertambah meriah dengan paluan kompang yang mengiringi ketibaan Naib Canselor USIM. Para hadirin turut dihidangkan dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran oleh pelajar tingkatan satu SMA Nilai yang merupakan wakil Negeri Sembilan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, serta persembahan nasyid yang harmoni oleh Kumpulan Soutul Fauzan.

Sebelum daripada itu, kerjasama antara kedua-dua institusi telah telah dizahirkan melalui satu aktiviti gotong-royong di bawah program University Service Responsibility (USR). Program ini menyaksikan penglibatan staf daripada Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), USIM yang turun padang berpadu tenaga bersama barisan pentadbir serta para pelajar SMA Nilai. 

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah kerja-kerja mengecat semula bangunan, menyelenggara unit penghawa dingin, serta menggantikan paip-paip air yang usang di kawasan asrama dan kantin. Inisiatif murni yang turut mendapat tajaan cat daripada syarikat Bina Paint ini berjaya memberi wajah baharu kepada persekitaran sekolah di samping mengeratkan lagi hubungan antara warga USIM dan SMA Nilai.

Semoga dengan terjalinnya kerjasama dibawah Program Sekolah Angkat MADANI 2025 ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar dan guru SMA Nilai untuk terlibat dalam pelbagai program akademik dan pembangunan sahsiah anjuran USIM, seterusnya memacu kecemerlangan sekolah ke tahap yang lebih tinggi.