NILAI, 26 OGOS 2025 – Sekolah Menengah Agama (SMA) Nilai sekali lagi berjaya menganjurkan sebuah program bermakna apabila menemukan semula para alumni bersama pelajar semasa dalam program ‘Bicara Inspirasi’ yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali malam semalam.
Program ini bertujuan untuk memberi motivasi dan pendedahan kepada para pelajar mengenai laluan hidup selepas tamat persekolahan.
Majlis telah didahului dengan ucapan aluan daripada Pengetua SMA Nilai. Dalam ucapan beliau, Pengetua menzahirkan rasa bangga dan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan alumni yang sudi meluangkan masa untuk kembali ke almamater. Beliau menekankan bahawa perkongsian mereka adalah sumber inspirasi terbaik bagi para pelajar yang sedang mencari hala tuju.
Sejurus selepas itu, sesi perkongsian bermula dengan beberapa wakil alumni tampil untuk menceritakan perjalanan mereka, daripada cabaran di menara gading sehinggalah kepada realiti alam pekerjaan.
Program ini bukan sahaja berjaya menyuntik semangat baharu kepada para pelajar, tetapi juga mengeratkan kembali hubungan silaturahim antara alumni, guru, dan seluruh warga sekolah.