NILAI, 16 Jun — Sekolah Menengah Agama Nilai (SMA Nilai) telah menganjurkan Majlis Graduasi Huffaz Tingkatan 5 dan Khatam Hafazan Al-Quran Kali Ke-5 dengan suasana penuh syahdu dan kegembiraan. Majlis ini bertujuan meraikan kejayaan pelajar Tingkatan 5 yang berjaya menamatkan hafazan Al-Quran sepanjang pengajian mereka di sekolah.
Mengangkat tema “Dari satu ayat ke satu juzuk, dari hafalan ke penghayatan”, para pelajar diraikan dengan penuh penghormatan, mengenakan jubah graduasi berwarna biru sambil menerima sijil dan penghargaan daripada pihak sekolah. Kejayaan ini bukan hanya pencapaian akademik tetapi juga manifestasi penghayatan terhadap Kalamullah.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan guru, ibu bapa serta wakil pentadbiran SMA Nilai yang menyifatkan program ini sebagai langkah penting dalam memperkukuh pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Tahfiz yang didukung oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Semoga para huffaz ini menjadi sinar kepada masyarakat, menyebarkan nur Al-Quran kepada ummah” ujar salah seorang pentadbir sekolah ketika menyampaikan ucapan penutup.
SMA Nilai terus komited dalam melahirkan generasi rabbani yang cemerlang dari segi rohani, intelek dan sahsiah, selaras dengan misi pendidikan Islam di negara ini.