LABU, 14 September 2025 – Kontinjen dari Sekolah Menengah Agama Nilai (SMA Nilai) telah mempamerkan prestasi luar biasa dengan merangkul tiga kejuaraan utama dalam Perkhemahan Pasukan Beruniform Briged Bakti Malaysia (BBM) Peringkat Negeri Sembilan Kali-1 Tahun 2025.
Perkhemahan yang membawa tema "Bersatu Berbakti, Menjulang Jati Diri" itu berlangsung selama dua hari bermula Jumaat, 12 September hingga Sabtu, 13 September di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu. Acara ini telah dirasmikan oleh Dato' Dr. Hj. Abdul Razak B. Hj. Kechik, Presiden Briged Bakti Malaysia, dan dianjurkan oleh Briged Bakti Malaysia Negeri Sembilan.
Pasukan SMA Nilai berjaya membawa pulang kemenangan membanggakan dalam tiga kategori pertandingan yang disertai, iaitu:
- Johan Pengurusan Jenazah (Lelaki)
- Johan Masakan Rimba (Perempuan)
- Johan Malam Kesenian Kebudayaan (Terbuka)
Kejayaan ini membuktikan kemahiran dan pengetahuan para pelajar SMA Nilai yang serba boleh, bukan sahaja dalam aspek kemahiran ikhtiar hidup tetapi juga dalam penghayatan ilmu fardu kifayah dan kreativiti seni persembahan.
Pihak sekolah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta dan jurulatih yang telah menunjukkan usaha, disiplin, dan semangat juang yang tinggi dalam mengharumkan nama sekolah.
Kejayaan gemilang ini diharapkan menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar lain untuk terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi, selaras dengan visi sekolah untuk melahirkan generasi Al-Quran yang berdaya saing.