Berilmu, Beriman, Beramal
SMA Nilai Terus Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang
1973
Tahun Penubuhan
52
Tahun
263
Pelajar
51
Tenaga Pengajar

JASAMU DIKENANG: SMA NILAI RAIKAN PERPISAHAN GURU DAN STAF

Tarikh: 11.9.25


NILAI, 10 SEPT – Sekolah Menengah Agama Nilai telah menganjurkan Majlis Perpisahan Guru & Staf dalam suasana yang penuh emosi dan penghargaan bagi meraikan  perpindahan pendidik dan kakitangan yang telah banyak menabur bakti di sekolah ini.

Majlis yang diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan tertinggi kepada Puan Rozaida binti Abd Rahman, Puan Noor Azlin binti A. Aziz, dan Puan Che Bunga binti Ayub atas segala sumbangan, pengorbanan, dan dedikasi mereka sepanjang perkhidmatan di SMA Nilai.

Bertempat di Dewan Al-Ghazali, majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengetua SMA Nilai, Tn. Hj. Mohammad Noh bin Sujud yang menzahirkan rasa terharu atas kehilangan tiga warga kerja yang berdedikasi dan mengucapkan terima kasih atas jasa mereka dalam membentuk kejayaan sekolah serta sahsiah para pelajar.

Suasana menjadi lebih syahdu apabila majlis diteruskan dengan ucapan daripada guru dan staf yang berpindah. Dalam ucapan mereka, jelas terpancar rasa berat hati untuk meninggalkan SMA Nilai yang sudah dianggap sebagai keluarga kedua, sambil mengimbau kenangan manis bersama rakan sekerja dan anak-anak didik.

Kemuncak majlis adalah sesi penyampaian hadiah dan cenderamata kepada ketiga-tiga individu yang diraikan sebagai tanda ingatan dan penghargaan yang tidak terhingga.

Meskipun tirai majlis ini berlabuh sebagai tanda perpisahan, jalinan ukhuwah dan semangat kekeluargaan yang terbina akan sentiasa mekar dalam ingatan. Justeru, seluruh warga Sekolah Menengah Agama Nilai menadah tangan mendoakan agar Puan Rozaida, Puan Noor Azlin, dan Puan Che Bunga terus dilimpahi kejayaan di lembaran baharu mereka.