NILAI, 25 Jun 2025 — Kumpulan nasyid Soutul Fauzan dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Nilai telah mencipta sejarah apabila berjaya merangkul gelaran johan dalam Festival Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (FNKSS) 2025 peringkat Negeri Sembilan. Kemenangan ini sekaligus melayakkan mereka untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
Pertandingan FNKSS 2025 peringkat Negeri Sembilan, yang diadakan di SMK Juasseh, menyaksikan persembahan memukau Soutul Fauzan yang penuh dengan penghayatan. Mereka mengungguli saingan sengit dalam kategori Sekolah Menengah. Soutul Muhazzirin dari SMA Haji Mohd Yatim muncul sebagai naib johan, manakala Soutul Sofwah dari SMA Sains Kuala Pilah menduduki tempat ketiga.
Selain kategori Sekolah Menengah, festival ini turut mengiktiraf bakat nasyid di peringkat sekolah rendah. As Saufee (SK Kampung Daching) berjaya merangkul gelaran johan, manakala Furqanic (SK Panchor) dan Al Idrisi (SK Dato' Idris) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.